Saturday, July 13, 2013

Ceng’Kerang’ Dibelah, Tak Boleh Ditangkup

Ramadan 1431

Puasa hari pertama tahun ini bersama dengan rakan seasrama. Lagipun kami sudah berada di tingkatan terakhir sekolah menengah. Keadaan yang amat sesuai untuk bersama rakan-rakan walaupun terpaksa. Lebih kurang dua minggu yang lalu, aku tiada masa untuk menelefon ummi dan abah. Maknanya, sudah dua minggu tidak mendengar khabar berita dari mereka. Selepas solat terawih, aku terus ke pondok telefon (tiada ‘telefon tangan’ yang halal untuk dibawa ketika di asrama).

Hampir sebulan abah tidak ke sekolah untuk mengajar. Abah sakit!

Masa ummi beritahu abah sakit, rasa macam jantungku beralih tempat dari dada ke kaki. (tudiaa, hiperbola nak mampoih ayat hang) dan hakikat sebenarnya lebih daripada itu. (siapa tak sayang abah oiii!)

Minggu kedua Ramadan, kami dibenarkan untuk pulang berbuka puasa bersama keluarga. Aku pulang dengan penuh keresahan. Perbuatanku penuh kegelisahan. Fikiranku penuh dengan kecelaruan. Abah terlantar di ruang tamu. Alhamdulillah, mulut abah masih petah. Cuma, pergerakan kaki abah terbatas untuk berjalan kemana-mana. Mana tidaknya, abah diserang penyakit gout rupanya.

Doktor kata : “Say NO to seafood.”

Ramadan 1432 

Setelah setahun menahan diri daripada memakan sebarang makanan yang berasal dari laut dan kepulauan, kesihatan abah semakin baik. Bukan itu sahaja usaha abah. Pemulihan sepanjang tahun itu telah membuatkan kami sekeluarga terdedah dengan kaedah bekam mengikut cara Islam sepenuhnya. Pemakanan sunnah juga turut diamalkan. Almari makanan yang dahulunya berisi mi segera kini telah dipenuhkan dengan madu lebah(pure dari sarang), buah tin, tamar dan air zam zam.

Buat pertama kalinya pada Ramadan kali ini, abah ke pasar seorang diri membeli makanan laut dan ulam-ulaman. Kaki abah sudah sihat sepenuhnya. Hari ini giliran abah untuk menjadi imam solat terawih setelah dikecualikan pada Ramadan yang lepas. Sebelum keluar rumah, abah sempat berpesan pada ummi.

Abah : “Lepas terawih malam ni, abah nak makan kerang cicah ‘collek’. Setahun tunggu nak makan kerang.”

Selesai solat terawih, kami sekeluarga pulang tanpa abah. Sudah pukul 11 malam tapi abah masih di masjid. Mungkin bertemu dengan sahabat lamanya di sana. Adik-adikku sibuk di dapur. “Moreh.”, kata mereka, walaupun sudah 45 minit di dapur (bukan moreh dah ni, buka puasa kali kedua ni).

Aku berada di hadapan televisyen. Ummi menyeterika baju di bilik. Abah pulang tanpa kami sedari. Abah terus menuju ke dapur. Adik-adikku baru sahaja selesai dengan moreh mereka. Abah menjenguk ke dalam periuk. Periuk kosong!

Alahai adik-adiku sayang, apesal la di’moreh’kan sekali kerang rebus yang abah punya tu??!

Sudah tiga hari abah mendiamkan diri. Tidak bercakap langsung dengan kami. Hanya duduk makan berbuka puasa dan terus ke masjid hingga dinihari. Segala pertanyaan kami tidak diendahkan. Bergurau jauh sekali. Hari keempat, ummi ke pasar membeli kerang. Kerang rebus dan ‘collek’ dihidangkan ketika berbuka. Abah nampak begitu berselera daripada biasa. Seperiuk kerang dihabiskan oleh abah. Adik-adikku hanya melihat(sambil telan ayaq liuq) tanpa meminta seperti biasa. Takut dimarahi ummi. Kata ummi, jangan minta kalau abah tak beri tawaran untuk makan kerang itu.

Pinggan nasi abah kosong tetapi penuh dengan ceng’kerang’ yang membukit. Abah menjilat jarinya.

Tiba-tiba abah bersuara, “Alhamdulillah, sedapnya kerang ni...”

Adik-adikku terus memandang abah dengan mata berkaca menahan selera mereka. Abah juga membalas pandangan mereka dengan penuh kehairanan.

Abah : “Kenapa pandang macam tu? Kalau nak bagitahu la, semua senyap je. Ingatkan tak nak tadi, tu yang abah habiskan.”

Erk.... It’s OK for this time.

Janji abah dah bercakap dengan kami sekarang. :D

1 comment :

Write Your Thoughts