Saturday, December 21, 2013

Kenal....

Ketika di tingkatan 1, kami agak pelik sebab pada satu hari asyik terserempak dengan cikgu yang sama tapi pakaian berbeza. Bila berada di tingkatan 4, rupanya ada kalangan guru yang kembar seiras bukan pelanduk dua serupa. Cikgu Nasa abangnya dan Cikgu Nazri adiknya. Cikgu Nasa mengajar kami subjek Matematik Tambahan. Cikgu Nazri mengajar kami subjek Kimia. Ustazah Roslina isteri kepada Cikgu Nasa, kakak ipar Cikgu Nazri juga mengajar kami subjek Pendidikan Islam. Banyak ilmu yang ditimba daripada mereka.

The Mystery of Chemistry.

Subjek Kimia ‘senang sikit’ daripada subjek Matematik Tambahan tapi kalau dilihat pada markah kedua-dua subjek ini memang sikit juga bezanya >.<. Apabila tiba waktu makmal, rasa air sirap kantin pun macam air suling. Benedict’s Solution nampak macam Pepsi Blue. Benar-benar mencabar. Kata Cikgu Nazri, baginya subjek Kimia adalah subjek paling senang. Tersedak sebentar!

“Bagi saya senang je ni. Senang sangat nak marking paper sebab jawapan sikit walaupun soalan banyak. Lagi satu, senang nak kira markah sebab student dapat markah simple.” Senyum sajo Cikgu Nazri lepas cakap macam tu. Tersedak lama sikit dari sebentar tadi!

Pop-up to Additional Mathematics.

Walaupun kami nampak soalan Matematik Tambahan tu macam soalan salah, (padahal tak tau nak buat), tapi Cikgu Nasa sabar mem’betul’kan soalan tersebut dengan jawapan yang pasti membuatkan kami kagum dengannya. Rasanya, beliau lagi tekun daripada pelajar tingkatan lima. Soalan sentiasa bertukar menjadi cacing di mata kami tetapi beliau ‘tukar’kan menjadi meggi goreng mamak yang apabila kami menjawabnya terasa enak di mulut dan selesa untuk perut. Untung Ustazah Roslina menjadi isterinya.

Kelas Pendidikan Islam 2010

Pembelajaran Pendidikan Islam telah sampai pada bab ibadah. Ustazah Roslina masuk tepat pada waktu. Semua kelihatan lebih bersedia daripada kelas sebelumnya. Buku catatan dan buku teks sama pada setiap meja. Lima minit berlalu dan kelas bermula.

Bab Ibadah : Perkahwinan

“...........Wanita dinikahi kerana empat faktor, yakni kerana harta kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Hendaknya pilihlah yang beragama untuk berkat kedua tanganmu. (HR. Muslim).......”

Asyik Ustazah Roslina menyampaikan nasihat melalui pembacaan hadis ini. Pengalamannya juga turut dikongsi sebagai pengajaran semoga kami menjadi bakal bidadari. Hari ini, ramai pulak yang nak bertanyakan soalan. Satu soalan dilontarkan daripada rakan-rakan di bahagian belakang.

“Ustazah, masa mula-mula Ustazah kahwin tu kan, boleh beza tak Cikgu Nasa dengan Cikgu Nazri?” Seluruh kelas tergelak dengan soalan itu.

“Saya kenal la siapa suami saya....” Belum sempat menghabiskan ayat, Ustazah terdiam. Cikgu Nasa dan Cikgu Nazri yang sama-sama memakai baju kemeja putih berjalan melewati kelas kami tetapi membelakangi Ustazah. Ustazah menyambung ayatnya, “...kenal kalau tengok muka.” 

Ustazah, statement itu sangat kelakar!

No comments :

Post a Comment

Write Your Thoughts