Thursday, June 18, 2015

Memuji

Ramadan 1434 Hijrah

Ramadan tiba lagi. Bulan penuh kemuliaan, bulan penuh keberkatan. Bulan bila tibanya dirai dan pemergiaannya ditangisi sebahagian yang benar-benar beriman kepada Ilahi. Alhamdulillah, cuti semester tahun pertama universiti aku sepenuhnya menyambut Ramadan dan Syawal di rumah. Banyak perkara yang telah dipelajari daripada seorang ibu yang bergelar isteri.

Pagi, ummi jadi cikgu sekolah rendah. Ummi tinggalkan adik Dini hampir sebulan yang penat nak ke sekolah (kata Dini) sebab tak sahur dan Zuhdi yang demam tiga hari sebab puasa mengejut pada 1 Ramadan. Petang, ummi jadi pelajar prasiswazah. Ummi tinggalkan ikan, ayam, seafood dan sayur-sayuran untuk aku siangkan buat masakan ketika berbuka nanti. Malam, ummi jadi suri rumah. Lepas solat sunat terawih, Ummi lipat kain depan aku yang tengah tengok cerita ‘Ramadan Yang Hilang’ dan iron baju Abah di tepi aku yang tengah sibuk online Facebook sampai dua tiga pagi.

Ummi tak pernah bersyarah pasal tu semua tapi Ummi bagi anak perempuannya ini tengok dan rasai dengan mata kepala tangan sendiri bagaimana kehidupan nak jadi seorang isteri dan ibu pada anak-anak nanti. Taktik halus Ummi ini pasti akan menjadikan aku seorang wanita sejati, InsyaAllah. Abah guna taktik berlawanan. Caranya sedikit kasar. Mungkin Abah sengaja nak tunjuk pada aku bagaimana seorang lelaki yang bergelar ayah mengajar supaya anaknya perlu belajar lebih banyak perkara lagi dari Ummi.

Pada awal Ramadan, kami sekeluarga menghadiri majlis berbuka puasa anjuran sekolah Abah. Aku datang sebagai alumni, bertemu mata dengan junior yang pernah mengenaliku dan guru-guru yang mengajarku. Kebanyakannya adalah guru baru. Kami semeja dengan Cikgu Hulaimi, jurulatih softbol yang melatihku sejak tingkatan tiga. Aku senyum dan memberi salam.

“Waalaikumussalam. Eh, Nabila anak Ustaz Mat rupanya. Ingatkan anak dara siapalah tadi.” Cikgu Hulaimi menjawab salamku.

Abah terus mencelah, “Anak dara tapi pandai makan saja, yang masaknya Ummi dia.”

Selera makan terus bernilai negatif biarpun ayam goreng dan nasi hujan panas berwarna-warni yang terhidang licin aku habiskan. Rezeki yang baik depan mata jangan ditolak!

Sejak peristiwa itu, Ummi kerap memanggilku ke dapur untuk memasak juadah berbuka. Mungkin Ummi nak ubah ayat Abah supaya aku lebih berselera untuk makan. Mungkin la. Ummi tidak serahkan sepenuhnya padaku cuma dia mahu aku membantu apa yang perlu. Penyediaan air haruslah aku. Takkanlah adik Dini pulak nak peluk jag besar tu sambil kacau air gula campur kordial delima atau kurma guna prinsip right hand rule. Boleh bayang tak agak-agak? -,-

Hari demi hari berlalu dengan rutin yang sama. Setiap hari, air yang dihidangkan berbeza. Tidak cukup dengan hanya air perisa delima, kurma, sirap (mainstream), bandung, oren sunquick (over mainstream), siren (dinner program kolej sangat), teh hijau (sihat sangat), Milo, Vico, Koko Tok Abah, smoothies (omputeh sangat), kopi RADIX ais (feveret geng usrah Abah), jagung, anggur, laicikang dan banyak lagi, Abah masih nak beli air tebu, kelapa, susu kambing, susu lembu segar, susu perisa coklat warna-warni (botol kecik-kecik) dekat kedai atau bazaar Ramadan. Air yang aku buat kurang sedap (katanya). Tak cukup manis la, manis sangat la, tawaq hebeq la dan bermacam lagi (tiga je sebenarnya.hehe).

Komen membina itu berterusan sepanjang bulan tersebut kecuali pada hari terakhir Ramadan 1434 Masihi. Hari itu sangat sibuk. Kami sekeluarga pulang ke kampung. Persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berbaki kurang dari 24 jam lagi. Tugas dibahagikan sebaiknya. Abah dan Ashraf membersihkan halaman rumah, Ummi dan adik-adik mengemas ruang tamu dan aku membasuh perkakas kuih raya. Kuih dan biskut raya disusun rapi mengikut jenisnya. Penyimpanan kuih dan biskut dilakukan setelitinya, bimbang rugi dek kerana semut dan serangga. Ummi sudah siapkan hidangan berbuka puasa. Tinggal tiga minit sahaja lagi untuk bertemu bulan Syawal dan baru ketika itulah aku teringat yang sebenarnya aku belum sediakan air untuk kami berbuka!

(Instrumental suspen : mode ON) Berbekalkan kudrat yang ada, sepantas kilat ais dipecahkan kecil ke dalam gelas. Kordial mangga dan air gula dikacau sebati dan sepenuhnya menggunakan prinsip pusingan dari kanan ke kiri. Air dituang dari jarak kurang 45 sentimeter dari paras meja (Gaya tuang dan memek muka dah macam aksi Jackie Chan nak elak peluru hidup). Ehem, Jangan tiru aksi ini!

Azan maghrib yang berkumandang memecah kesunyian sementara ketika kami meneguk air mangga ais untuk berbuka. Abah menghabiskan minumannya itu. Tiada sebarang respon atau komen membina yang diberikan. Abah terus makan buah kurma, sedikit nasi, segenggam ulam-ulaman dan seketul peha ayam golek.

“Abah, ok tak air tu? Tawar atau manis sangat?” Sengaja aku bertanya.

“Ok. Sedap! Tapi sayang la, dah 20 tahun hidup, baru hari raya kali ni pandai buat air.” Abah tersenyum lalu memintaku supaya menuangkan lagi air mangga ais itu ke dalam gelasnya.

Komen tersebut dikategorikan sebagai komen ‘terlajak’ membina sampai tak tercapai dek akal. Harap raya pada tahun 1436 anak perempuan Abah ini sudah pandai memasak. Doakan. J

Jamadil Awal 1435 Hijrah

Kuliah compiler pagi itu berlalu selama satu jam sahaja. Jam 9.00 pagi aku terus pulang ke bilik. Sementara sunyi tanpa roommate yang telah ke kelas, radio menjadi peneman.

Slot Pesona D’Zahra di siaran radio IKIM.FM diisi manfaat ilmu oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz al-Amin. Bekas pelajar Abah suatu ketika dahulu. Tajuk yang dikupas pada pagi itu ialah “Memuji”.

“... Jangan puji sangat kelebihan semulajadi seseorang, takut nanti dia lupa kekurangan semulajadinya....”

Patutlah abah tak puji sangat minuman dan masakan yang aku buat selama ni. Eh?Kah! J

Saturday, April 11, 2015

Balasan Tuhan

PLKN 2010

Beberapa minggu lagi kami bakal menamatkan latihan ‘ketenteraan’ di Cherating. Masa pantas berlalu sehingga tidak sedar yang jadual kami semakin hari semakin padat. Kami sedang menempuh modul fizikal! Modul yang apabila anda tempuhinya, tidak akan ada sedikit pon rasa takut kecuali pada Allah dan minda anda akan sentiasa ingat mati. Alhamdulillah!

Modul fizikal ini amat memenatkan. Kami menempuhinya dengan penuh sabar. Kena marah? Kena denda? Itu biasa pada yang pernah kena, kah! Masa kami jalani modul fizikal ni la ramai pulek yang demam kerana selalu berpakaian ’celoreng’ dalam keadaan cuaca yang panas lebih tahap sauna.

Alpha kena menang! Bravo hebat! Charlie the boom! Delta huhahuha *tarian Hulk!

Semangat tak semangat, kalau sorang demam semua kena denda. Kes ni masuk kategori kesalahan tak menjaga kebajikan rakan se’PLKN’. Aktiviti waktu malam dikurangkan, waktu tu la kena denda. Masih tak luntur lagi kenangan tu. Setiap orang kena minum tiga cawan air sebelum masuk tidur. Bunyi senang. Tiga cawan air je tapi satu cawan kena ‘one shot’ sebab nak kejar masa. Guna cawan besi kongsi 20 orang. Ini semua gara-gara ada orang demam dan jurulatih assume dia demam sebab tak cukup minum air.
  
Orang luar akan anggap kalau masuk PLKN mesti tak strict bab agama tapi tidak di Cherating. Weolls wajib solat jemaah setiap waktu solat dan setiap malam ada kuliah agama k! Kat rumah pon tak disiplin macam ni tau dak.

Pernah sekali (serius, memang sekali je) kami tidak sempat untuk solat berjemaah bersama. Waktu zohor. Tuhan balas laa tu jugak! Pelatih lelaki yang berada dalam surau dan aku telah menjadi mangsa. Aku, satu-satunya pelatih perempuan yang menjadi mangsa. Ini serius seram weih!

Masuk Alam Lain

Sesi latihan pagi itu tamat agak lewat daripada kebiasaan. Kami diberi masa untuk solat, makan dan tukar baju selama 30 minit sahaja. Pergerakan kami lebih cepat daripada Fast and Furious. Bayangkan! Selesai makan dan menukar pakaian baju berkolar biru, aku terus bergegas ke surau. Kasut but tidak tersusun seperti biasa. Tiada kedengaran suara imam.

“Cepat Nabila! Ada sepuluh minit lagi ni!” Jerit Naufal yang ketika itu sedang mengikat tali kasut.

Kalau boleh nak je solat sambil pakai kasut but berat tu, taknak kena denda!

“Asal tak jemaah ni? Ustaz tak marah ke?” (konon tanya la aku pon)

“Ustaz kata boleh solat sendiri. Cepat Nabila, Naufal tunggu kat luar.”

Telekung solat dah tersarung. Aku mencari ruang. Ada sedikit ruang di saf hadapan bahagian solat perempuan. Memang cukup untuk seorang. Ruang solat perempuan dan ruang solat lelaki hanya dipisahkan oleh sehelai kain tirai berwarna kuning. Solatku sudah di rakaat yang ketiga, bangun daripada sujud pertama. Angin lembut tiba-tiba meniup lembut menyapa muka. Nyaman!

Arrrggghhh!!!!!!!

Teriakan aku itu tidak didengari sesiapa (jerit dalam hati sajo). Aku perasan di hadapanku tiada lagi tirai kuning. Ada pelatih-pelatih lelaki yang sedang solat, ada yang baru nak masuk surau untuk solat dan ada yang sedang berehat. Sebahagian mereka terkejut dan tergamam melihatku. Ko hengat angin tu saja-saja nak bertiup? Dengan tirai-tirai sekali dia tiupkan.
  
Bacaan doa duduk antara sujud menjadi laju. Sujudku untuk kali kedua diiringi doa agar segera diselamatkan oleh Tuhan. Alhamdulillah, aku kembali ke alam asal ketika Jalsah Istirohah dengan muka yang tidak berperasaan!

Inilah balasan daripada Allah sebab kami tak solat jemaah hari tu.

Sunday, January 4, 2015

Salam Maulidur Rasul

Muhammad…
Nama seorang lelaki yang agung, kami beriman kepadanya dengan sepenuh jiwa dan raga meskipun kami tidak pernah bertemu dengannya.

Kelahiran Muhammad Bin Abdullah

Apabila tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin Abdullah adalah orang yang paling mulia dan paling bangsawan.

Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah mengandung, ayah Muhammad meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan lagi.
Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan, “Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.” Kelahiran ini  adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera gajah.

Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan, salah satu daripada tanda itu, katanya, semasa Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu tujuh tahun. Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, “Bintang Ahmad muncul di langit.” Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan. Hasan menyaksikan peristiwa itu.

Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut sejarah lagi, Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan.

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.

Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, kempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oelh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi itu tertimbus.

Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian pelik ini dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.

Allah berkata dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud, “Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah.” Ada antara pendeta ini yang menyebutkan pada kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi.

Kisra bertanya maksud 14 anjung istana kisra yang runtuh. Mereka berkata, “Kerajaan Farsi akan diperintahkan oleh 14 orang kisra lagi, memaparkan tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlulah dirisaukan.”

Selepas kematian kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang kisra memerintah Farsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu kerajaan Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.

Petikan daripada buku,
Biografi MUHAMMAD BIN ABDULLAH,
Perjalanan Hidup Seorang Nabi.

Hadiah dari Shifa

Selepas gotong-royong asrama, kami berkumpul di katil Widad. Kami berbual mengenai hadiah jamuan dorm. Tinggal seminggu saja lagi sebelum jamuan dorm D1-01. Mereka meluahkan hasrat masing-masing. Ada yang nak baju. Tak kurang juga yang minta teddy bear sebesar manusia.

“Ila nak buku biografi Rasulullah,  tapi buku tu mahal.”

Pada malam jamuan itu, semua orang menunggu giliran untuk pembahagian hadiah. Tibalah giliran Shifa. Dia tiba-tiba muncul di belakang bersama hadiah berbalut segi empat tepat.

“Ni hadiahnya! Shifa belikan khas untuk Ila.”

Lima tahun berlalu, buku itu masih dapatku baca. Itulah hadiah yang paling bermakna. Terima kasih Shifa. Terima kasih!

Friday, November 21, 2014

Bila Lagi?

Kenangan sepanjang di sekolah begitu memberi kesan kepada naluri masing-masing. Tidak puas rasanya bercerita tentang pengalaman sendiri. Perbualan di dalam kelas banyak membongkar segala rahsia sepanjang kehidupan di sekolah asrama penuh. Pengalaman menjadi senior di sekolah amat menyenangkan kehidupan di asrama. Jika melakukan sesuatu yang melanggar peraturan sekolah, tiada siapa yang lebih tua akan marah. Jika menyuruh junior melakukan sesuatu, mereka  tidak berani bantah.

Mereka senior,ikut sajalah. Biarlah mereka buat apa yang mereka suka.

Walaupun terdapat banyak pemimpin pelajar dalam kalangan tingkatan lima, mereka lebih memahami. Tatkala ada pengawas junior yang membuat laporan kesalahan tentang pelajar tingkatan lima, mereka terpaksa akur dengan perbuatan rakan seumur.

Kami dah tingkatan lima, BILA LAGI nak langgar peraturan sekolah.’  

Kenangan melanggar peraturan sekolah akan terus terpahat di ingatan dan selamanya akan menjadi suatu kenangan. Tapi ia hanyalah sekadar kenangan!

Menjelang SPM 2010

“Syu rasa kita patut bersihkan bahagian tingkat atas surau. Kita dah tingkatan lima, BILA LAGI nak buat bakti kat surau ni kalau bukan sekarang. Memang kita tak pernah guna tapi mungkin akan berguna suatu hari nanti.”

Mesyuarat Badan Dakwah dan Rohani (BADRI) tingkatan lima pada malam itu membincangkan tentang apa yang boleh dilakukan oleh kami sebagai senior untuk dijadikan kenangan sebelum meninggalkan alam persekolahan. Masih ada banyak lagi cara untuk mencipta sebuah kenangan selain daripada melanggar peraturan. Syu banyak menyumbangkan idea memandangkan dia merupakan Pengerusi BADRI. Adda yang memiliki ilmu kesenian akan menyumbangkan bakatnya untuk melukis kaligrafi di dinding surau. Asmat dan Noniey akan menguruskan susun atur barang dan perabut di dalam surau. Selebihnya akan membantu membersihkan kawasan surau.

Mesyuarat malam itu berakhir dengan sesi bersalaman sebelum tidur. Kami tidur beramai-ramai di dalam surau. Esok ada tugas yang lebih besar menanti iaitu mengejutkan rakan untuk program qiamullail menjelang SPM 2010. Qiamullail pada pagi itu berjalan lancar dengan kehadiran Ustaz Mokhtar. Lalu kami terus bersiap untuk ke kelas prep pagi Jumaat.

Misi BADRI Tingkatan Lima diteruskan selepas waktu prep. Kami memberanikan diri ke tingkat atas surau yang langsung tidak pernah digunakan sebelum ini. Hanya ada meja dan kerusi kayu yang tidak digunakan. Tingkap dipenuhi dengan debu dunia. Lantai ditompoki tahi burung. Sarang anai-anai yang mirip sarang tebuan memenuhi seluruh engsel pintu. Semua itu kami bersihkan selama dua hari berturut-turut. Namun, susunan meja masih belum selesai.

Seminggu berlalu dengan penuh keterujaan. Hasil seni tangan Adda dan beberapa orang lain yang membantu telah menceriakan suasana surau. Tulisan kaligrafi Asmaul Husna itu memenuhi setiap tiang surau yang selama ini kosong seperti tiada jiwa.

“Ada eloknya kita susun meja dan kerusi. Syu harap kita boleh guna sebagai tempat study atau mini library.”

NOVEMBER 2014

Impian Pengerusi BADRI 2010 itu menjadi kenyataan. Sungguh, ini bukan sahaja menjadi kenangan. Malah, suatu bentuk wakaf yang jika terus dimanfaatkan, pahala terus akan mengalir kepada sesiapa sahaja yang mengusahakan. Kini, tempat itu merupakan tempat yang lebih daripada apa yang Syu impikan dan AJK BADRI yang lain bayangkan. Tempat itu dihadiri para pencinta Kalam Allah. 

Mereka ini mempunyai cita-cita menggunung tinggi dengan membawa harapan menjejaki syurga Ilahi. Mereka merupakan penghafaz Al-Quran yang menyumbangkan keberkatan pada seluruh ummah.


Sekalung tahniah daripada kami AJK BADRI Tingkatan Lima 2010.


Saturday, December 21, 2013

Kenal....

Ketika di tingkatan 1, kami agak pelik sebab pada satu hari asyik terserempak dengan cikgu yang sama tapi pakaian berbeza. Bila berada di tingkatan 4, rupanya ada kalangan guru yang kembar seiras bukan pelanduk dua serupa. Cikgu Nasa abangnya dan Cikgu Nazri adiknya. Cikgu Nasa mengajar kami subjek Matematik Tambahan. Cikgu Nazri mengajar kami subjek Kimia. Ustazah Roslina isteri kepada Cikgu Nasa, kakak ipar Cikgu Nazri juga mengajar kami subjek Pendidikan Islam. Banyak ilmu yang ditimba daripada mereka.

The Mystery of Chemistry.

Subjek Kimia ‘senang sikit’ daripada subjek Matematik Tambahan tapi kalau dilihat pada markah kedua-dua subjek ini memang sikit juga bezanya >.<. Apabila tiba waktu makmal, rasa air sirap kantin pun macam air suling. Benedict’s Solution nampak macam Pepsi Blue. Benar-benar mencabar. Kata Cikgu Nazri, baginya subjek Kimia adalah subjek paling senang. Tersedak sebentar!

“Bagi saya senang je ni. Senang sangat nak marking paper sebab jawapan sikit walaupun soalan banyak. Lagi satu, senang nak kira markah sebab student dapat markah simple.” Senyum sajo Cikgu Nazri lepas cakap macam tu. Tersedak lama sikit dari sebentar tadi!

Pop-up to Additional Mathematics.

Walaupun kami nampak soalan Matematik Tambahan tu macam soalan salah, (padahal tak tau nak buat), tapi Cikgu Nasa sabar mem’betul’kan soalan tersebut dengan jawapan yang pasti membuatkan kami kagum dengannya. Rasanya, beliau lagi tekun daripada pelajar tingkatan lima. Soalan sentiasa bertukar menjadi cacing di mata kami tetapi beliau ‘tukar’kan menjadi meggi goreng mamak yang apabila kami menjawabnya terasa enak di mulut dan selesa untuk perut. Untung Ustazah Roslina menjadi isterinya.

Kelas Pendidikan Islam 2010

Pembelajaran Pendidikan Islam telah sampai pada bab ibadah. Ustazah Roslina masuk tepat pada waktu. Semua kelihatan lebih bersedia daripada kelas sebelumnya. Buku catatan dan buku teks sama pada setiap meja. Lima minit berlalu dan kelas bermula.

Bab Ibadah : Perkahwinan

“...........Wanita dinikahi kerana empat faktor, yakni kerana harta kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Hendaknya pilihlah yang beragama untuk berkat kedua tanganmu. (HR. Muslim).......”

Asyik Ustazah Roslina menyampaikan nasihat melalui pembacaan hadis ini. Pengalamannya juga turut dikongsi sebagai pengajaran semoga kami menjadi bakal bidadari. Hari ini, ramai pulak yang nak bertanyakan soalan. Satu soalan dilontarkan daripada rakan-rakan di bahagian belakang.

“Ustazah, masa mula-mula Ustazah kahwin tu kan, boleh beza tak Cikgu Nasa dengan Cikgu Nazri?” Seluruh kelas tergelak dengan soalan itu.

“Saya kenal la siapa suami saya....” Belum sempat menghabiskan ayat, Ustazah terdiam. Cikgu Nasa dan Cikgu Nazri yang sama-sama memakai baju kemeja putih berjalan melewati kelas kami tetapi membelakangi Ustazah. Ustazah menyambung ayatnya, “...kenal kalau tengok muka.” 

Ustazah, statement itu sangat kelakar!

Saturday, August 17, 2013

KAMUS | Cemburu = Jealous

TAHUN 2011 : KMKu

“Perempuan memang begitu, kuat cemburu.” Kata Faiz ketika kelas tutorial bersurai.  Mungkin ada betulnya katanya itu. Cemburu mesti bermata, baru hidup bahagia. Tapi kalau cemburu buta?

Kuliah Ustaz Mudawali

Kuliah fardu ain di surau setiap petang Rabu diadakan seperti biasa. Ustaz Mudawali sampai tepat seperti yang disangka. Kelihatan juga Faiz di barisan belakang bahagian lelaki. Biasanya dia tidak akan datang. Tertidur itu jugalah dijadikan alasannya. Alhamdulillah, mungkin dia sudah sedar setelah ditarbiyah oleh Cikgu Ilman setiap kali kuliah dan tutorial Biologi. Petang-petang begini kalau dilayankan rasa letih dah lama kami tidur di bilik. Bila fikir balik, Ustaz Mudawali pun sanggup datang walaupun rumahnya jauh dari kolej kami.

Ceramah Ustaz Mudawali yang bergaya santai itu membuatkan mata kami sanggup menahan rasa mengantuk. Letih kami ketawa dengan jenakanya. Petang itu, ustaz menceritakan kisah mengenai bidadari. Hadiah khas untuk para kaum Adam yang berjuang di jalan Ilahi. Ainul Mardhiah, idaman setiap pejuang agama di syurga nanti.

“Bidadari itu cantiknya tiada bandingannya, lebih cantik daripada pompuan dunia yang kamu dok angau sekarang ni. Kalau ada ler, kalau takde tu la yang terbaiknya . Bila mereka(bidadari) meminum air sungai  dari dalam syurga, air yang mengalir ke kerongkong boleh dilihat dengan jernihnya. Wahai lelaki, berjuanglah untuk agama Allah. Kalau ada kelas fardu ain, datang ler. Bukan jauh benor pon. Ketika fardu ain, jangan ler tidor. Setiap amalan kamu tu dikira walau sebesar zarah. Berkorbanlah ketika masih di dunia. Tak mahu ke berjumpa bidadari-bidadari kamu di syurga sana?” Kata-kata Ustaz Mudawali membuatkan pelajar lelaki segar kembali. Teruja mendengar hadiah mereka jika berpeluang ke syurga nanti.

Perasaanku tiba-tiba berubah apabila mendengar kisah bidadari. Rasa cemburu itu menyelubungi. Jika benar semua lelaki syurga bersama bidadari, bagaimana pula dengan wanita syurga? Bakal suamiku nanti mesti mengimpikan bidadari-bidadari dari syurga. Jika pasangan suami isteri masuk ke syurga, bagaimana dengan isterinya? Adakah terus dilupakan suami yang telah mendapat ganjaran bidadari? Kepalaku kini penuh tanda tanya. Cemburu rasanya dengan bidadari di syurga sana. Bolehkah aku menandingi mereka?

Ceramah selama satu jam itu berakhir dengan sesi soal jawab. Kata ustaz, kalau nak tanya bangun. Kalau malu sangat, hantar ler surat. Beberapa keping kertas telah  selamat sampai ke tangan ustaz. Ustaz membelek-belek kertas berisi soalan yang katanya daripada pihak muslimat. Ustaz tiba-tiba tergelak dan kami terdiam menantikan soalan apa dan jawapannya bagaimana.

“Muslimat jangan la jealous. Ketika suami atau bakal suami kamu di syurga nanti, dia memang ler dapat bidadari. Tapi kamu semua ni Ketua Bidadari. Nak banding bidadari biasa dengan ketua bidadari mana lagi hebat?” Ustaz terus mengangkat tangan berdoa untuk penutupan kuliah fardu ain pada petang itu.

Nasib baik datang kuliah fardu ain. Perasaan cemburu yang membuak-buak tadi dah hilang! Terima kasih Ustaz Mudawali. Mungkin punca orang yang cemburu buta itu kerana kurangnya ilmu agama. Jadi, tuntutlah ilmu yang berguna supaya kamu dapat bercinta bersama yang halal hingga ke syurga.