Thursday, June 18, 2015

Memuji

Ramadan 1434 Hijrah

Ramadan tiba lagi. Bulan penuh kemuliaan, bulan penuh keberkatan. Bulan bila tibanya dirai dan pemergiaannya ditangisi sebahagian yang benar-benar beriman kepada Ilahi. Alhamdulillah, cuti semester tahun pertama universiti aku sepenuhnya menyambut Ramadan dan Syawal di rumah. Banyak perkara yang telah dipelajari daripada seorang ibu yang bergelar isteri.

Pagi, ummi jadi cikgu sekolah rendah. Ummi tinggalkan adik Dini hampir sebulan yang penat nak ke sekolah (kata Dini) sebab tak sahur dan Zuhdi yang demam tiga hari sebab puasa mengejut pada 1 Ramadan. Petang, ummi jadi pelajar prasiswazah. Ummi tinggalkan ikan, ayam, seafood dan sayur-sayuran untuk aku siangkan buat masakan ketika berbuka nanti. Malam, ummi jadi suri rumah. Lepas solat sunat terawih, Ummi lipat kain depan aku yang tengah tengok cerita ‘Ramadan Yang Hilang’ dan iron baju Abah di tepi aku yang tengah sibuk online Facebook sampai dua tiga pagi.

Ummi tak pernah bersyarah pasal tu semua tapi Ummi bagi anak perempuannya ini tengok dan rasai dengan mata kepala tangan sendiri bagaimana kehidupan nak jadi seorang isteri dan ibu pada anak-anak nanti. Taktik halus Ummi ini pasti akan menjadikan aku seorang wanita sejati, InsyaAllah. Abah guna taktik berlawanan. Caranya sedikit kasar. Mungkin Abah sengaja nak tunjuk pada aku bagaimana seorang lelaki yang bergelar ayah mengajar supaya anaknya perlu belajar lebih banyak perkara lagi dari Ummi.

Pada awal Ramadan, kami sekeluarga menghadiri majlis berbuka puasa anjuran sekolah Abah. Aku datang sebagai alumni, bertemu mata dengan junior yang pernah mengenaliku dan guru-guru yang mengajarku. Kebanyakannya adalah guru baru. Kami semeja dengan Cikgu Hulaimi, jurulatih softbol yang melatihku sejak tingkatan tiga. Aku senyum dan memberi salam.

“Waalaikumussalam. Eh, Nabila anak Ustaz Mat rupanya. Ingatkan anak dara siapalah tadi.” Cikgu Hulaimi menjawab salamku.

Abah terus mencelah, “Anak dara tapi pandai makan saja, yang masaknya Ummi dia.”

Selera makan terus bernilai negatif biarpun ayam goreng dan nasi hujan panas berwarna-warni yang terhidang licin aku habiskan. Rezeki yang baik depan mata jangan ditolak!

Sejak peristiwa itu, Ummi kerap memanggilku ke dapur untuk memasak juadah berbuka. Mungkin Ummi nak ubah ayat Abah supaya aku lebih berselera untuk makan. Mungkin la. Ummi tidak serahkan sepenuhnya padaku cuma dia mahu aku membantu apa yang perlu. Penyediaan air haruslah aku. Takkanlah adik Dini pulak nak peluk jag besar tu sambil kacau air gula campur kordial delima atau kurma guna prinsip right hand rule. Boleh bayang tak agak-agak? -,-

Hari demi hari berlalu dengan rutin yang sama. Setiap hari, air yang dihidangkan berbeza. Tidak cukup dengan hanya air perisa delima, kurma, sirap (mainstream), bandung, oren sunquick (over mainstream), siren (dinner program kolej sangat), teh hijau (sihat sangat), Milo, Vico, Koko Tok Abah, smoothies (omputeh sangat), kopi RADIX ais (feveret geng usrah Abah), jagung, anggur, laicikang dan banyak lagi, Abah masih nak beli air tebu, kelapa, susu kambing, susu lembu segar, susu perisa coklat warna-warni (botol kecik-kecik) dekat kedai atau bazaar Ramadan. Air yang aku buat kurang sedap (katanya). Tak cukup manis la, manis sangat la, tawaq hebeq la dan bermacam lagi (tiga je sebenarnya.hehe).

Komen membina itu berterusan sepanjang bulan tersebut kecuali pada hari terakhir Ramadan 1434 Masihi. Hari itu sangat sibuk. Kami sekeluarga pulang ke kampung. Persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri berbaki kurang dari 24 jam lagi. Tugas dibahagikan sebaiknya. Abah dan Ashraf membersihkan halaman rumah, Ummi dan adik-adik mengemas ruang tamu dan aku membasuh perkakas kuih raya. Kuih dan biskut raya disusun rapi mengikut jenisnya. Penyimpanan kuih dan biskut dilakukan setelitinya, bimbang rugi dek kerana semut dan serangga. Ummi sudah siapkan hidangan berbuka puasa. Tinggal tiga minit sahaja lagi untuk bertemu bulan Syawal dan baru ketika itulah aku teringat yang sebenarnya aku belum sediakan air untuk kami berbuka!

(Instrumental suspen : mode ON) Berbekalkan kudrat yang ada, sepantas kilat ais dipecahkan kecil ke dalam gelas. Kordial mangga dan air gula dikacau sebati dan sepenuhnya menggunakan prinsip pusingan dari kanan ke kiri. Air dituang dari jarak kurang 45 sentimeter dari paras meja (Gaya tuang dan memek muka dah macam aksi Jackie Chan nak elak peluru hidup). Ehem, Jangan tiru aksi ini!

Azan maghrib yang berkumandang memecah kesunyian sementara ketika kami meneguk air mangga ais untuk berbuka. Abah menghabiskan minumannya itu. Tiada sebarang respon atau komen membina yang diberikan. Abah terus makan buah kurma, sedikit nasi, segenggam ulam-ulaman dan seketul peha ayam golek.

“Abah, ok tak air tu? Tawar atau manis sangat?” Sengaja aku bertanya.

“Ok. Sedap! Tapi sayang la, dah 20 tahun hidup, baru hari raya kali ni pandai buat air.” Abah tersenyum lalu memintaku supaya menuangkan lagi air mangga ais itu ke dalam gelasnya.

Komen tersebut dikategorikan sebagai komen ‘terlajak’ membina sampai tak tercapai dek akal. Harap raya pada tahun 1436 anak perempuan Abah ini sudah pandai memasak. Doakan. J

Jamadil Awal 1435 Hijrah

Kuliah compiler pagi itu berlalu selama satu jam sahaja. Jam 9.00 pagi aku terus pulang ke bilik. Sementara sunyi tanpa roommate yang telah ke kelas, radio menjadi peneman.

Slot Pesona D’Zahra di siaran radio IKIM.FM diisi manfaat ilmu oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz al-Amin. Bekas pelajar Abah suatu ketika dahulu. Tajuk yang dikupas pada pagi itu ialah “Memuji”.

“... Jangan puji sangat kelebihan semulajadi seseorang, takut nanti dia lupa kekurangan semulajadinya....”

Patutlah abah tak puji sangat minuman dan masakan yang aku buat selama ni. Eh?Kah! J

No comments :

Post a Comment

Write Your Thoughts