Friday, November 21, 2014

Bila Lagi?

Kenangan sepanjang di sekolah begitu memberi kesan kepada naluri masing-masing. Tidak puas rasanya bercerita tentang pengalaman sendiri. Perbualan di dalam kelas banyak membongkar segala rahsia sepanjang kehidupan di sekolah asrama penuh. Pengalaman menjadi senior di sekolah amat menyenangkan kehidupan di asrama. Jika melakukan sesuatu yang melanggar peraturan sekolah, tiada siapa yang lebih tua akan marah. Jika menyuruh junior melakukan sesuatu, mereka  tidak berani bantah.

Mereka senior,ikut sajalah. Biarlah mereka buat apa yang mereka suka.

Walaupun terdapat banyak pemimpin pelajar dalam kalangan tingkatan lima, mereka lebih memahami. Tatkala ada pengawas junior yang membuat laporan kesalahan tentang pelajar tingkatan lima, mereka terpaksa akur dengan perbuatan rakan seumur.

Kami dah tingkatan lima, BILA LAGI nak langgar peraturan sekolah.’  

Kenangan melanggar peraturan sekolah akan terus terpahat di ingatan dan selamanya akan menjadi suatu kenangan. Tapi ia hanyalah sekadar kenangan!

Menjelang SPM 2010

“Syu rasa kita patut bersihkan bahagian tingkat atas surau. Kita dah tingkatan lima, BILA LAGI nak buat bakti kat surau ni kalau bukan sekarang. Memang kita tak pernah guna tapi mungkin akan berguna suatu hari nanti.”

Mesyuarat Badan Dakwah dan Rohani (BADRI) tingkatan lima pada malam itu membincangkan tentang apa yang boleh dilakukan oleh kami sebagai senior untuk dijadikan kenangan sebelum meninggalkan alam persekolahan. Masih ada banyak lagi cara untuk mencipta sebuah kenangan selain daripada melanggar peraturan. Syu banyak menyumbangkan idea memandangkan dia merupakan Pengerusi BADRI. Adda yang memiliki ilmu kesenian akan menyumbangkan bakatnya untuk melukis kaligrafi di dinding surau. Asmat dan Noniey akan menguruskan susun atur barang dan perabut di dalam surau. Selebihnya akan membantu membersihkan kawasan surau.

Mesyuarat malam itu berakhir dengan sesi bersalaman sebelum tidur. Kami tidur beramai-ramai di dalam surau. Esok ada tugas yang lebih besar menanti iaitu mengejutkan rakan untuk program qiamullail menjelang SPM 2010. Qiamullail pada pagi itu berjalan lancar dengan kehadiran Ustaz Mokhtar. Lalu kami terus bersiap untuk ke kelas prep pagi Jumaat.

Misi BADRI Tingkatan Lima diteruskan selepas waktu prep. Kami memberanikan diri ke tingkat atas surau yang langsung tidak pernah digunakan sebelum ini. Hanya ada meja dan kerusi kayu yang tidak digunakan. Tingkap dipenuhi dengan debu dunia. Lantai ditompoki tahi burung. Sarang anai-anai yang mirip sarang tebuan memenuhi seluruh engsel pintu. Semua itu kami bersihkan selama dua hari berturut-turut. Namun, susunan meja masih belum selesai.

Seminggu berlalu dengan penuh keterujaan. Hasil seni tangan Adda dan beberapa orang lain yang membantu telah menceriakan suasana surau. Tulisan kaligrafi Asmaul Husna itu memenuhi setiap tiang surau yang selama ini kosong seperti tiada jiwa.

“Ada eloknya kita susun meja dan kerusi. Syu harap kita boleh guna sebagai tempat study atau mini library.”

NOVEMBER 2014

Impian Pengerusi BADRI 2010 itu menjadi kenyataan. Sungguh, ini bukan sahaja menjadi kenangan. Malah, suatu bentuk wakaf yang jika terus dimanfaatkan, pahala terus akan mengalir kepada sesiapa sahaja yang mengusahakan. Kini, tempat itu merupakan tempat yang lebih daripada apa yang Syu impikan dan AJK BADRI yang lain bayangkan. Tempat itu dihadiri para pencinta Kalam Allah. 

Mereka ini mempunyai cita-cita menggunung tinggi dengan membawa harapan menjejaki syurga Ilahi. Mereka merupakan penghafaz Al-Quran yang menyumbangkan keberkatan pada seluruh ummah.


Sekalung tahniah daripada kami AJK BADRI Tingkatan Lima 2010.


No comments :

Post a Comment

Write Your Thoughts