Saturday, August 17, 2013

KAMUS | Cemburu = Jealous

TAHUN 2011 : KMKu

“Perempuan memang begitu, kuat cemburu.” Kata Faiz ketika kelas tutorial bersurai.  Mungkin ada betulnya katanya itu. Cemburu mesti bermata, baru hidup bahagia. Tapi kalau cemburu buta?

Kuliah Ustaz Mudawali

Kuliah fardu ain di surau setiap petang Rabu diadakan seperti biasa. Ustaz Mudawali sampai tepat seperti yang disangka. Kelihatan juga Faiz di barisan belakang bahagian lelaki. Biasanya dia tidak akan datang. Tertidur itu jugalah dijadikan alasannya. Alhamdulillah, mungkin dia sudah sedar setelah ditarbiyah oleh Cikgu Ilman setiap kali kuliah dan tutorial Biologi. Petang-petang begini kalau dilayankan rasa letih dah lama kami tidur di bilik. Bila fikir balik, Ustaz Mudawali pun sanggup datang walaupun rumahnya jauh dari kolej kami.

Ceramah Ustaz Mudawali yang bergaya santai itu membuatkan mata kami sanggup menahan rasa mengantuk. Letih kami ketawa dengan jenakanya. Petang itu, ustaz menceritakan kisah mengenai bidadari. Hadiah khas untuk para kaum Adam yang berjuang di jalan Ilahi. Ainul Mardhiah, idaman setiap pejuang agama di syurga nanti.

“Bidadari itu cantiknya tiada bandingannya, lebih cantik daripada pompuan dunia yang kamu dok angau sekarang ni. Kalau ada ler, kalau takde tu la yang terbaiknya . Bila mereka(bidadari) meminum air sungai  dari dalam syurga, air yang mengalir ke kerongkong boleh dilihat dengan jernihnya. Wahai lelaki, berjuanglah untuk agama Allah. Kalau ada kelas fardu ain, datang ler. Bukan jauh benor pon. Ketika fardu ain, jangan ler tidor. Setiap amalan kamu tu dikira walau sebesar zarah. Berkorbanlah ketika masih di dunia. Tak mahu ke berjumpa bidadari-bidadari kamu di syurga sana?” Kata-kata Ustaz Mudawali membuatkan pelajar lelaki segar kembali. Teruja mendengar hadiah mereka jika berpeluang ke syurga nanti.

Perasaanku tiba-tiba berubah apabila mendengar kisah bidadari. Rasa cemburu itu menyelubungi. Jika benar semua lelaki syurga bersama bidadari, bagaimana pula dengan wanita syurga? Bakal suamiku nanti mesti mengimpikan bidadari-bidadari dari syurga. Jika pasangan suami isteri masuk ke syurga, bagaimana dengan isterinya? Adakah terus dilupakan suami yang telah mendapat ganjaran bidadari? Kepalaku kini penuh tanda tanya. Cemburu rasanya dengan bidadari di syurga sana. Bolehkah aku menandingi mereka?

Ceramah selama satu jam itu berakhir dengan sesi soal jawab. Kata ustaz, kalau nak tanya bangun. Kalau malu sangat, hantar ler surat. Beberapa keping kertas telah  selamat sampai ke tangan ustaz. Ustaz membelek-belek kertas berisi soalan yang katanya daripada pihak muslimat. Ustaz tiba-tiba tergelak dan kami terdiam menantikan soalan apa dan jawapannya bagaimana.

“Muslimat jangan la jealous. Ketika suami atau bakal suami kamu di syurga nanti, dia memang ler dapat bidadari. Tapi kamu semua ni Ketua Bidadari. Nak banding bidadari biasa dengan ketua bidadari mana lagi hebat?” Ustaz terus mengangkat tangan berdoa untuk penutupan kuliah fardu ain pada petang itu.

Nasib baik datang kuliah fardu ain. Perasaan cemburu yang membuak-buak tadi dah hilang! Terima kasih Ustaz Mudawali. Mungkin punca orang yang cemburu buta itu kerana kurangnya ilmu agama. Jadi, tuntutlah ilmu yang berguna supaya kamu dapat bercinta bersama yang halal hingga ke syurga.

No comments :

Post a Comment

Write Your Thoughts